Status Kemajuan Bahasa Arab Saya- Bahagian 1

kemajuan bahasa arabSaudara Asif – Guru bahasa Arab di Youtube Channel: Learn Arabic ini pernah berkata “Bahasa Arab ini susah untuk orang yang malas!”.

Kena kat saya…hehe. 1001 alasan boleh kita beri kalau kita tak mahu atau tak suka sesuatu tu kan?

Dulu memang saya malas…sangat, terutamanya bila saya di asak dengan wazan – wazan untuk kata kerja yang pelbagai hingga rasa nak undur  diri saja dari perjuangan bahasa Arab ni.

Alhamdulillah…saya telah menemui buku dan bahan belajar  yang sesuai sebab buku tersebut bermula hanya dengan empat kata kerja. Yer…saya tidak di asak awal-awal lagi dengan benda-benda yang menakutkan.

Saya dah jumpa formulanya…iaitu buku dari Dr. V. Abdur Rahim dan semuanya PERCUMA!! Alhamdulillah.

Buku yang dihasilkan oleh beliau sangat mudah untuk difahami dan sistematik. Ini kerana pelajaran dari unit 1 hingga ke unit seterusnya tidak begitu padat dan penerangan oleh Saudara Asif sangat membantu untuk memahami keindahan pelajaran dalam setiap unit.

Sekarang, saya sudah berada di unit 18, buku 1 Arabic Madinah yang boleh di muat turun di laman LQ Toronto.Oh ye…buku yang saya beli di Korea Selatan hanya hingga Lesson 8 tapi yang saya muat turun dari laman di atas adalah hingga Lesson 23 (versi lama buku tersebut).

Alhamdulillah. Subhanallah! Kini, ketika saya membaca Surah Al-Qasas, ayat 24: Nabi Musa a.s. mengucapkan ayat ini.

images1

doa nabi musa

Rabbi Inni Lima Anzalta Ilayya Min Khairin Faqir

Kalau ditulis dalam ejaan rumi memang saya rasa biasa saja, tetapi saya sudah tiba di unit 18 dan ternyata apabila dibaca dalam bahasa Arab dan saya telah faham maksud setiap perkataan dalam ayat tersebut. Subhanallah…mengalir air mata saya.

Makna setiap perkataan menusuk kalbu saya. Betapa indahnya bahasa Arab! Subhanallah.

Setiap hari saya pastikan saya belajar minimum 1 jam dari video Madinah Arabic. Kalau saya tertinggal, saya akan tandakan dalam diari, yang saya tak pegang pada janji saya. Biar rasa bersalah sikit..hehe.

Saya bermula pada 23 Julai 2015 dan hingga ke hari ini sudah lebih dari tiga bulan. Tersasar dari niat saya untuk tamatkan Buku 1 Madinah Arabic ini dalam masa 3 bulan atau kurang. Sedih T_T.

Buku 1 Madinah Arabic ada 23 Unit pembelajaran. Masih berbaki enam. Ya Allah, permudahkan lah bagi ku. Amin.

Belajar Bahasa Arab Percuma

PERCUMA?!!

Ya..percuma. ^^ Tak perlu bayar.

Ada internet, ada laptop, ada masa, ada pensel atau pen, ada buku nota di tangan dan…yang paling penting — DISIPLIN! (hehehe…ini yang paling susah ni..)

Benda percuma ni biasanya kita ambil tak serius. Kalau dah semua percuma, kita boleh buat nak atau tanak je kan? Kalau kena bayar…rasa rugiiiiii sangat kalau tak buat sungguh-sungguh.

Sebenarnya, ada banyak sangat bahan-bahan belajar bahasa Arab PERCUMA di alam maya ini = Internet. Lebih-lebih lagi dengan kewujudan Youtube, saya rasa tiada masalah kalau kita cuba korek-korek dan cari video pembelajaran yang sesuai dengan cara pembelajaran kita, speed processor  otak kita ni (hehe…..jangan pentium PRO pulak…) dan mudah untuk difahami.

Channel: Learn Arabic

Saya terjumpa kursus belajar bahasa Arab percuma ini masa tengah tercari-cari video yang sesuai. Masa tu dalam pertengahan bulan Julai 2015.

Mula-mula sekali saya tengok di bahagian komen untuk video di atas ini, ada seorang saudari dia telah berjaya menamatkan pembelajaran ketiga-tiga buku teks Madinah Arabic dalam masa satu tahun dua bulan! Masha Allah. Saudari ini telah berkahwin dan mempunyai anak-anak yang masih kecil.

Ya! Sesungguhnya, segala sesuatu perlukan usaha dan pengorbananan. Bak kata orang putih – No pain no gain!

Guru di dalam video ini menggunakan bahasa Inggeris. Dari hemat saya, beliau berasal dari Pakistan tetapi menetap di Kanada. Apa yang buat saya tertarik untuk belajar menggunakan video beliau adalah kerana beliau menggunakan buku teks Madinah Arabic yang saya bincangkan dalam post sebelum ini.

Cara beliau menerangkan tatabahasa dengan diselitkan lagu-lagu ala Hindustan (sebab beliau kadang-kadang menggunakan Bahasa Urdu), membuatkan saya mudah faham apa yang beliau ingin sampaikan. Masha Allah.

Kalau dulu, bila saya dengar ada orang nak belajar Bahasa Arab je, saya cepat-cepat akan kata “Susah!”. Walhal, saya takde pengalaman langsung belajar Bahasa Arab.

Itu dulu…tapi sekarang bila saya dah ikuti kursus Arabic Madinah ini, Alhamdulillah saya nampak perubahannya. Terutama ketika dalam solat, lebih khushuk kerana saya faham apa yang saya baca. Subhanallah.

Semua video boleh di lihat di Channel: Learn Arabic atau boleh muat turun video dan buku dari laman LQToronto.