Cara Mudah Belajar Bahasa Arab – KIBAR

Apa itu ‘Cara Mudah Belajar Bahasa Arab – KIBAR’? 

Pada bulan Mac lepas, seorang sahabat mencadangkan saya untuk mendengar ceramah Ustaz Muhammad Abdullah atau lebih dikenali sebagai Ustaz Amin dari slot Pesona D’Zahra oleh radio IKIM (Institut Kefahaman Islam Malaysia).

Setelah hampir dua bulan mendengar ceramah beliau, Alhamdulillah, sungguh banyak perubahan dalam sikap saya untuk menangani kehidupan berumahtangga. Mendengar tip-tip dari Ustaz Amin dengan lawak-lawak selamba beliau sedar tak sedar dah habis dengar dah. Best!

Ok..apa kaitannya dengan ‘Cara Mudah Belajar Bahasa Arab – KIBAR’? 

Semalam..setakat ini saya telah belajar bahasa Arab dari buku nombor 2 – Madinah Arabic hingga sampai unit 27. Susah! Itulah yang saya boleh katakan sekarang. Hmm…saya mengambil satu langkah ke belakang sebentar untuk rehatkan otak saya yang tepu ni.

Tiba-tiba, sedang rehat-rehat, terdetik dalam hati…”Radio IKIM mesti ada slot belajar bahasa arab kan?”

IKIM FM-hayya bil arabiah

Terus saya buka Sheikh Google dan terjumpalah slot Hayya Bil Arabiah di IKIM FM. Masih dengan Sheikh Google, saya terjumpa Ustaz Rusdi adalah mentor yang mengendalikan slot tersebut dari tahun 2011 hingga 2013. Boleh langgan slot Hayya Bil Arabiah dengan hanya RM1 untuk satu slot di TVIKIM-Niaga.

ustaz rusdi

Dari situ saya pun melayari laman internet beliau: ustazrusdi.com. Inilah dia penemuan saya dari laman beliau –  ‘Cara Mudah Belajar Bahasa Arab – KIBAR’ Masha Allah!

‘Cara Mudah Belajar Bahasa Arab – KIBAR’ ini adalah teknik beliau mengajar Bahasa Arab untuk pelajar yang bukan bangsa Arab. KIBAR – Kelas Intensif Bahasa Arab.

Dari laman beliau, beliau juga telah melancarkan siri video yang boleh dilihat di sini: Pengajian Online KIBAR. Ini bermakna untuk pelajar seperti saya yang tidak tinggal di Malaysia, ini adalah satu peluang yang sungguh berharga. Ilmu yang diberikah hanya percuma.

Saya telah memulakan pengajian online KIBAR – KIBAR ASAS 01 – WIRID, DOA & BACAAN DALAM SOLAT dahulu. Semalam saya telah menonton video beliau untuk KIBAR Asas – Episod 1 (Bahagian 1 dan 2).

Dari tajuk saja kita dapat rasakan…inilah dia antara sebab kenapa kita MESTI belajar Bahasa Arab. Ini adalah untuk memantapkan lagi fokus dan khushuk kita ketika solat dan berdoa. Bi iznillah.

Oleh kerana saya telah mempelajari bahasa Arab menggunakan buku Madinah Arabic terlebih dahulu, jadi saya tidak mempunyai masalah untuk memahami pengajian online Ustaz Rusdi.

cara mudah menguasai bahasa al quran

Tetapi untuk mereka yang baru pertama kali ingin belajar bahasa Arab dari pengajian online KIBAR – Ustaz Rusdi, mereka MESTI menggunakan buku teks beliau untuk memahami video tersebut. Ini kerana beliau menggunakannya ketika mengajar pelajar-pelajar beliau seperti di dalam video tersebut.

Boleh dapatkan buku beliau di laman ini: Cara Mudah Menguasai Bahasa Al-Qur’an atau hubungi Puan Fiza 019-279 3487.

Pendapat saya: Saya menggunakan pengajian online KIBAR ini untuk menambahkan dan memantapkan lagi pemahaman bahasa Arab saya. Pengajian Online saya masih lagi menggunakan buku Madinah Arabic dari pengajian online di LQToronto. Di LQToronto, ia adalah dalam bahasa Inggeris tetapi pengajian online KIBAR adalah dalam bahasa Malaysia. Kedua-dua guru dari LQToronto dan KIBAR mempunyai teknik pengajaran yang berbeza tetapi melengkapkan antara satu sama lain. Setelah hampir tamat buku 2-Arabic Madinah, saya dapati dengan melihat pengajian online KIBAR ini dapat meluaskan lagi cara untuk memahami subjek yang saya telah pelajari dan ada sebahagian penerangan lebih mudah untuk difahami mungkin kerana Ustaz Rusdi tahu bagaimana atau dari sudut mana untuk ‘memerangkap’ teknik menguasai bahasa Arab itu dari mindset seorang pelajar berbangsa Melayu.

Wallahualam.

Status Kemajuan Bahasa Arab Saya- Bahagian 1

kemajuan bahasa arabSaudara Asif – Guru bahasa Arab di Youtube Channel: Learn Arabic ini pernah berkata “Bahasa Arab ini susah untuk orang yang malas!”.

Kena kat saya…hehe. 1001 alasan boleh kita beri kalau kita tak mahu atau tak suka sesuatu tu kan?

Dulu memang saya malas…sangat, terutamanya bila saya di asak dengan wazan – wazan untuk kata kerja yang pelbagai hingga rasa nak undur  diri saja dari perjuangan bahasa Arab ni.

Alhamdulillah…saya telah menemui buku dan bahan belajar  yang sesuai sebab buku tersebut bermula hanya dengan empat kata kerja. Yer…saya tidak di asak awal-awal lagi dengan benda-benda yang menakutkan.

Saya dah jumpa formulanya…iaitu buku dari Dr. V. Abdur Rahim dan semuanya PERCUMA!! Alhamdulillah.

Buku yang dihasilkan oleh beliau sangat mudah untuk difahami dan sistematik. Ini kerana pelajaran dari unit 1 hingga ke unit seterusnya tidak begitu padat dan penerangan oleh Saudara Asif sangat membantu untuk memahami keindahan pelajaran dalam setiap unit.

Sekarang, saya sudah berada di unit 18, buku 1 Arabic Madinah yang boleh di muat turun di laman LQ Toronto.Oh ye…buku yang saya beli di Korea Selatan hanya hingga Lesson 8 tapi yang saya muat turun dari laman di atas adalah hingga Lesson 23 (versi lama buku tersebut).

Alhamdulillah. Subhanallah! Kini, ketika saya membaca Surah Al-Qasas, ayat 24: Nabi Musa a.s. mengucapkan ayat ini.

images1

doa nabi musa

Rabbi Inni Lima Anzalta Ilayya Min Khairin Faqir

Kalau ditulis dalam ejaan rumi memang saya rasa biasa saja, tetapi saya sudah tiba di unit 18 dan ternyata apabila dibaca dalam bahasa Arab dan saya telah faham maksud setiap perkataan dalam ayat tersebut. Subhanallah…mengalir air mata saya.

Makna setiap perkataan menusuk kalbu saya. Betapa indahnya bahasa Arab! Subhanallah.

Setiap hari saya pastikan saya belajar minimum 1 jam dari video Madinah Arabic. Kalau saya tertinggal, saya akan tandakan dalam diari, yang saya tak pegang pada janji saya. Biar rasa bersalah sikit..hehe.

Saya bermula pada 23 Julai 2015 dan hingga ke hari ini sudah lebih dari tiga bulan. Tersasar dari niat saya untuk tamatkan Buku 1 Madinah Arabic ini dalam masa 3 bulan atau kurang. Sedih T_T.

Buku 1 Madinah Arabic ada 23 Unit pembelajaran. Masih berbaki enam. Ya Allah, permudahkan lah bagi ku. Amin.

Buku Bahasa Arab Pertamaku

Featured image

Saya ambil masa lebih dari dua tahun untuk betul-betul mengambil keputusan untuk belajar bahasa Arab. Maknanya saya mula berura-ura untuk belajar bahasa Arab dengan serius pada tahun 2013.

Kenapa?

Ketika saya berlibur di Korea Selatan, saya ada singgah di sebuah kedai buku-buku Islam yang berdekatan dengan masjid di Itaewon. *Satu kegemaran saya ketika melancong adalah melawat kedai buku dan membawa pulang sebuah sebagai kenangan.^^*

Saya terjumpa buku ini,  Madinah Arabic Reader – Book 1. Menarik! Terdetik begitu dalam hati saya. Harganya pun tak berapa mahal. Hanya 10,000 won sebuah.

Sebelum membelinya saya selak beberapa lembar muka surat untuk pastikan yang saya tak menyesal sesudah membelinya. Saya tak nafikan yang saya sebagai insan yang lemah ini memang ada tabiat hangat-hangat tahi ayam *Nauzubillah. Ya Allah, kurniakanlah ketekunan, kesabaran dan kesungguhan bagiku untuk mendalami bahasa Arab ini. Amin. *

Menariknya tentang buku ini, banyak gambar yang berwarna-warni supaya tidak cepat bosan dan tulisannya juga tak terlalu kecil seperti buku-buku ilmiah di universiti. Senang cerita…santai.

Walaubagaimanapun…medium bahasa utama buku ini adalah dalam bahasa Inggeris dan sekurang-kurangnya kita mesti faham bahasa Inggeris dahulu untuk memahami buku ini.

Ok..buku dah menarik, saya faham bahasa Inggeris..Alhamdulillah tapi kenapa? kenapa masih malas lagi? Kembali kepada niat.

Saya masih belum rasa kemanisan bahasa Arab ini.

Buku Madinah Arabic Reader – Book 1 adalah karya Dr. V, Abdur Rahim, bekas pensyarah Bahasa Arab selama 30 tahun di Universiti Islam Madinah. Boleh lihat biodata beliau di laman ini.