Kemanisan Iman Bersama Al Quran

Pernah tak rasa kadang-kadang tahap iman kita tinggi dan adakalanya pernah sampai tahap kurang iman, haus iman atau hampir tiada iman?

Sebagai seorang hamba Allah yang lemah yang mana sifat seorang manusia, Maha Pencipta telah jadikan dalam diri kita ini ada sifat-sifat yang lemah, saya akui yang saya juga pernah merasa sedemikian.

“Allah yang menciptakan kamu bermula dengan keadaan lemah, selepas berkeadaan lemah itu Ia menjadikan kamu kuat. Setelah itu Ia menjadikan kamu lemah pula serta tua beruban. Ia menciptakan apa yang dikehendakiNya, dan Dia lah jua yang Maha Mengetahui, lagi Maha Kuasa.”
(Ar-Ruum 30:54)

Dalam tahun 2007, saya mengalami keadaan yang mana kesabaran, kewarasan, harta-benda serta hubungan kekeluargaan saya diuji oleh Allah. Saya mengambil masa hampir lima tahun untuk kembali ‘normal’.

Adakalanya saya tertanya-tanya pada diri sendiri, kenapa saya ada di dunia ini? Adakah saya perlu buat perkara yang sama sahaja seperti orang lain? Belajar, masuk universiti, dapat pekerjaan yang bagus, beli rumah besar, ada kereta besar, kahwin, punya anak yang ramai, melancong ke luar negara dan lagi dan lagi dan lagi.

Ia seolah-seolah menjadi satu ‘template’ kehidupan. Malangnya, hati kecil saya berkata bahawa ada sesuatu yang lebih baik atau lebih ‘holistik’ dari semua yang saya nyatakan di atas.

Ketika itu, jujur saya katakan bahawa Al Quran bukan teman rapat saya. Saya sangat jahil. Ya, walaupun saya telah khatam Al Quran pada umur bawah 12 tahun tetapi khatam hanyalah bermaksud habis membacanya tanpa memahaminya langsung! Kemudian keluarga saya buat kenduri doa selamat untuk memberitahu orang kampung yang saya sudah khatam Al Quran.

Selepas umur 12 tahun…kadangkala baca, kadangkala tidak dan mungkin lebih lima tahun saya tak baca langsung. Al Quran hanyalah seperti sebuah buku yang dipandang mulia dengan meletakkannya di atas rak paling atas dan kadang kala dicium sebagai tanda hormat. Dibiarkan ia berdebu begitu sahaja.

Lahir sebagai seorang Muslim tidak bermakna seseorang itu menghayati Islam secara ‘total’. Sedih! Sedih sangat-sangat.

Tahun 2007 saya membawa diri ke beberapa buah negara asing. Di situ saya mula bertukar. Secara mental dan spiritual. Boleh saya katakan bahawa persepsi saya tentang kehidupan atau perjalanan hidup yang Allah takdirkan untuk saya telah berubah.

Sebelum memulakan perjalanan, hati kecil saya berkata,”Ya Allah, aku tidak ada apa-apa. Hanya Engkau! Aku serahkan diriku padamu.”

Saya tidak tahu bahawa sebenarnya, apa yang saya katakan itu adalah zikir لا حول ولاقوة إلا بالله.  “La Haula Wala Quwwata Illa Billah’” (yang bermaksud : Tiada daya dan kekuatan (untuk menolak sesuatu kemudaratan dan mendatangkan suatu yang manfaat) selain Allah SWT).

Ada beberapa kali ketika solat, saya akan menangis, merayu pada Allah hanya dalam bahasa Melayu dengan sungguh-sungguh kerana hati saya terlalu resah dan gundah-gulana. Subhanallah, selepas solat, hati saya terasa lapang, selapang-lapangnya!

Apabila saya membaca Al-Quran, seolah-olah Allah berkata-kata kepada saya, ayat itu ditujukan buat saya dan tidak boleh saya gambarkan langsung perasaan dalam diri saya ketika itu. Betapa Allah sesungguhnya Ar-Rahman dan Ar Rahim. Allahu Akbar!

Sesungguhnya di dalam Al Quran itu ada segala penawar dan jawapan bagi setiap masalah manusia dan hanya Allah SWT yang mengetahui apa yang terbaik untuk hamba Nya.

Dan Kami turunkan dengan beransur-ansur dari Al-Quran Aya-ayat Suci yang menjadi ubat penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman kepadanya; dan (sebaliknya) Al-Quran tidak menambahkan orang-orang yang zalim (disebabkan keingkaran mereka) melainkan kerugian jua.
(Al-Israk 17:82)

Baru-baru ini saya secara tidak sengaja terjumpa sebuah video temubual seorang ustaz yang bernama Fahad Al-Kandari – Guided through Quran, dengan seorang saudara Muslim; Abu Hurairah yang berasal dari Sepanyol.

Pada mulanya tujuan saya melihat video itu adalah untuk mendengar perbualan dalam bahasa Arab dan bahasa Sepanyol (saya sedang belajar kedua-dua bahasa ini sekarang) untuk latihan mendengar.

Subhanallah, saya mendapat ilmu yang lebih dari apa yang saya inginkan dan ia sangat-sangat bernilai bagi saya. Tidak henti-henti air mata saya mengalir apabila melihat video itu kerana apa yang dihadapi oleh Encik Abu Hurairah adalah hampir serupa dengan apa yang saya hadapi. Perbezaannya, dia beragama Kristian sebelum memeluk Islam pada tahun 1982.

Dalam Al Quran, Allah telah jawab semua persoalan saya, kekeliruan saya tentang kewujudan saya, tujuan kehidupan saya dan di dalamnya Allah telah memberikan saya arahan, tatacara untuk melalui kehidupan saya di dunia ini sebelum berpindah ke alam yang kekal. Dan Rasulullah SAW adalah pesuruhnya dan manusia terbaik sebagai ‘role model’ untuk semua orang Islam.

Mari kita amalkan membaca Al Quran setiap hari, rasai kemanisannya dan moga Allah berikan kekuatan untuk kita sentiasa istiqamah. Insha Allah.