7 rahsia cara belajar bahasa

learning_a_language

Sumber: Blog TED

Tiada rahsia cara belajar bahasa sebenarnya. Tapi kalau kita amati betul-betul, ada teknik-teknik yang kita perlu ikuti untuk sentiasa istiqamah dalam perjuangan mempelajari sesuatu bahasa.

Hari ini saya akan menterjemahkan satu artikel dari laman TED (Technology, Entertainment and Design) tentang cara mempelajari bahasa baru-7 rahsia dari penterjemah TED.

Artikel ini telah ditulis oleh Krystian Aparta.

1- Mempunyai matlamat yang realistik.

Tentukan matlamat yang mudah untuk dicapai untuk permulaan supaya tidak berasa tertekan untuk mencapai matlamat itu. Penterjemah bahasa Jerman Judith Matz mencadangkan: “Mulakan dengan 50 perkataan dan mula menggunakan mereka pada orang sekeliling – dan kemudian perlahan-lahan mula mempelajari tatabahasa”.

2- Pembelajaran bahasa sebagai perubahan gaya hidup.

Elisabeth Buffard, selama 27 tahun beliau mengajar bahasa Inggeris telah menemui rahsia pelajar-pelajar yang berjaya dari rakan-rakan mereka iaitu konsistensi. Cari satu tabiat mempelajari bahasa yang boleh diikuti walaupun anda letih, sakit ataupun angau bercinta.

3- Bermain dengan bahasa di rumah.

Lebih banyak anda menggunakan bahasa yang dipelajari ke dalam kehidupan harian anda, lebih banyak otak anda akan menganggap ia sesuatu yang berguna dan  bernilai untuk diserap.

“Gunakan setiap peluang untuk mendapatkan pendedahan kepada bahasa baru” kata penterjemah bahasa Rusia, Olga Dmitrochenkova . Labelkan setiap objek di rumah anda dalam bahasa ini, membaca buku-buku kanak-kanak yang ditulis dalam bahasa tersebut, lihat video TED dan TEDx menurut sarikata atau menceritakan kehidupan seharian anda kepada seorang sahabat khayalan.

4- Teknologi boleh membantu anda.

Dmitrochenkova mempunyai idea yang hebat :
“Satu perkara yang melucukan seperti menetapkan semula bahasa pada telefon anda boleh membantu anda mempelajari perkataan baru dengan segera” kata beliau. Sama seperti menukar bahasa pada browser (Google chrome, IE dll) anda.

Atau anda boleh mencari peluang pembelajaran yang lebih berstruktur melalui internet. Penterjemah bahasa Belanda, Els De Keyser mengesyorkan Duolinguo sebagai satu pendekatan kepada tatabahasa melalui permainan di internet dan Anki untuk menghafal perbendaharaan kata dengan menggunakan kad imbas “pintar “.

5- Pembelajaran bahasa sebagai pintu kepada pengalaman baru.

Penterjemah bahasa Sepanyol, Sebastián Betti , pembelajaran bahasa menghasilkan peluang untuk menggapai pengalaman baru. Dalam erti kata lain, dia memikirkan perkara yang menyeronokkan yang dia mahu lakukan dengan menggunakan sesuatu bahasa baru. Keinginan untuk melakukan perkara ini membuka peluang untuk mereka mempelajari bahasa tersebut.

Ramai daripada penterjemah kami berkongsi nasihat yang sama. Penterjemah bahasa Itali dan Perancis, Anna Minoli mempelajari bahasa Inggeris dengan menonton versi filem kegemarannya tanpa alih suara dan sari kata manakala penterjemah bahasa Croatia, Ivan Stamenkovic tiba-tiba menyedari bahawa dia boleh berbahasa Inggeris dalam tahun lima persekolahan, selepas bertahun-tahun menonton Cartoon Network tanpa sari kata. Jadi, jika suatu hari nanti anda memerlukan resepi kek lobak merah, cuba cari dalam bahasa yang anda pelajari.

6- Mencari kawan baru.

Berinteraksi dalam bahasa baru adalah kunci rahsia – ia akan mengajar anda untuk menyatakan pandangan anda secara intuitif, dan bukannya menterjemahkan setiap ayat di dalam kepala sebelum anda mengatakannya. Cari penutur asal bahasa yang dipelajari yang ber berhampiran dengan anda. Atau cari sahabat pena atau saling bertukar bahasa dalam talian, di mana dua sukarelawan membantu satu sama lain untuk mempelajari bahasa masing-masing.

7- Jangan bimbang membuat kesilapan.

Salah satu halangan yang paling biasa ketika berbual dalam bahasa baru adalah takut membuat kesilapan. Tetapi penutur asal adalah seperti ibu bapa yang sangat penyayang: apa-apa percubaan daripada anda untuk berkomunikasi dalam bahasa mereka adalah bukti bahawa anda adalah seorang genius berbakat. Mereka akan
menghargai usaha anda dan juga membantu anda.

Gementar untuk berbual dengan rakan sebaya? cuba uji kemahiran bahasa anda dengan seseorang yang lebih muda. “Saya terkejut apabila saya berbual dengan seorang anak kecil dari Itali dan menyedari bahawa kami mempunyai tahap yang sama dalam bahasa Itali” kata penterjemah Bahasa Jerman Judith Matz . Dan bersabar. Lebih banyak anda bercakap, lebih hampir anda ke status “kefasihan seperti penutur asal” dan untuk bercakap dengan mereka yang sebaya anda.

Bahasa Arab Sekolah Rendah di Malaysia

Pada penghujung tahun 2015, saya berkesempatan menemani anak saudara saya untuk mengambil buku teks sekolahnya bagi penggal persekolahan tahun 2016. Ibu-bapanya bekerja dan saya telah secara sukarela membantu mereka untuk menguruskan pengambilan buku teks terbabit kerana saya suri rumah sepenuh masa. Alhamdulillah.

Sudah lama saya tidak masuk ke sekolah. Lebih dari dua puluh lima tahun rasanya. Apabila mendengar hiruk pikuk murid-murid sekolah rendah berlari-lari di dalam kelas mereka, secara tak langsung membawa saya ke zaman persekolahan semasa saya kecil. Rindu!

Buku teks diberikan secara percuma di sekolah rendah di Malaysia tetapi apabila penggal persekolahan pada tahun tersebut tamat, murid-murid perlu memulangkannya semula. Ini adalah untuk diguna pakai semula bagi murid-murid tahun seterusnya. Jika ada buku yang rosak teruk dan tidak boleh digunakan lagi, pihak sekolah akan melakukan inventori dan perlu memesan stok baru.

Sebenarnya, saya amat berminat untuk mengetahui rupa dan silibus buku teks bahasa Arab Tahun 2 yang anak saudara saya akan gunakan untuk tahun 2016. Pada mulanya saya ingin melihat buku Tahun 1 tetapi ibunya telah memulangkan semua buku teks ke pihak sekolah maka tak dapatlah saya nak melihat secara teliti.

buku bahasa arab tahun 2kssr

buku bahasa arab tahun 2 kssr

Ini adalah beberapa keping gambar yang dapat saya ambil dari buku bahasa Arab Tahun 2, sekolah rendah Malaysia.

Dari hemat saya, apabila bahasa Arab telah diterapkan dalam silibus pendidikan sekolah rendah, ia akan memberi kesan yang baik dan juga buruk kepada ramai pihak.

Mari kita lihat kesan baik dahulu.

Untuk mereka yang beragama Islam, ibu bapa atau keluarga yang menitik beratkan pendidikan Al Quran sebelum kemasukan anak-anak mereka ke sekolah rendah, secara tidak langsung anak-anak mereka ada kelebihan kerana sudah boleh terus membaca tulisan jawi.

Huruf Hijaiyah apabila sudah dikuasai penggunaannya adalah salah satu batu loncatan untuk kanak-kanak tersebut. Sekurang-kurangnya kalau dalam peringkat bacaan Al-Quran, kanak-kanak tersebut seelok-eloknya telah khatam kitab Mukaddam dengan bacaan yang lancar sebelum masuk ke Tahun 1!

Apabila kanak-kanak ini telah ada asas tersebut dan keluarga atau ibu-bapanya juga mengambil inisiatif untuk membantu mereka, ini tidak akan menjadi masalah. Malah mereka dapat menerapkan pelajaran bahasa Arab ini dalam pemahaman Al Quran.

Mari kita lihat kesan buruk pula. 

Ibu kepada anak saudara saya pernah mengeluh, anaknya masih belum lancar membaca Mukaddam, malah masih belum lancar membaca tulisan rumi, kini telah disogokkan dengan silibus bahasa Arab di sekolah. Terlalu banyak yang perlu dipelajari oleh kanak-kanak yang berumur 8 tahun! Hujung tahun tengok-tengok markah bahasa Arab – sifar, telur!

Dia perhatikan anaknya semakin lama semakin kurang minat untuk belajar bahasa Arab kerana sebab utama: Dia tidak faham apa yang diajar oleh gurunya.

Guru tidak akan dapat membantu semua murid di dalam kelas yang kadang kala hampir 40 orang dalam satu-satu kelas! Guru juga tidak dapat menunggu hingga kesemua murid faham dan baru meneruskan bahagian seterusnya. Guru juga ada jadual yang perlu dikejar kerana semuanya ada target KPI!

Jadi disini, apakah sebenarnya objektif yang ingin dicapai oleh kerajaan Malaysia atau Kementerian Pelajaran Malaysia dengan menambah silibus bahasa Arab sebagai salah satu mata pelajaran tambahan di sekolah rendah?

Ya, belajar bahasa ketiga sangat baik tetapi kalau bahasa Inggeris pun masih belum dapat dikuasai oleh murid tersebut, penambahan bahasa ketiga hanya akan menambahkan beban kepada tahap pemahaman, penguasaan dan juga keyakinan mereka dalam menuntut ilmu.

Belajar menjadi sesuatu yang membosankan bukan menyeronokkan dan membakar sifat ingin tahu mereka. 

Kanak-kanak bukan saja semakin ‘stress’ tetapi mereka telah ‘dipaksa’ untuk belajar sesuatu yang mereka tidak perlu sebagai ‘bahan ujikaji’ sistem pendidikan supaya dasar baharu boleh digubal bagi generasi akan datang.

Sesungguhnya, kejayaan pembelajaran bagi kanak-kanak bagi pendapat saya bukan dilihat melalui bilangan ‘A’ yang mereka dapat dalam peperiksaan.

Renung-renungkanlah.

Artikel tambahan:

  1. Kecelaruan arah tuju sistem pendidikan negara
  2. Perbaiki sistem pendidikan pra sekolah perlu jadi matlamat utama
  3. Memilih sekolah rendah untuk pendidikan anak