Kemanisan Iman Bersama Al Quran

Pernah tak rasa kadang-kadang tahap iman kita tinggi dan adakalanya pernah sampai tahap kurang iman, haus iman atau hampir tiada iman?

Sebagai seorang hamba Allah yang lemah yang mana sifat seorang manusia, Maha Pencipta telah jadikan dalam diri kita ini ada sifat-sifat yang lemah, saya akui yang saya juga pernah merasa sedemikian.

“Allah yang menciptakan kamu bermula dengan keadaan lemah, selepas berkeadaan lemah itu Ia menjadikan kamu kuat. Setelah itu Ia menjadikan kamu lemah pula serta tua beruban. Ia menciptakan apa yang dikehendakiNya, dan Dia lah jua yang Maha Mengetahui, lagi Maha Kuasa.”
(Ar-Ruum 30:54)

Dalam tahun 2007, saya mengalami keadaan yang mana kesabaran, kewarasan, harta-benda serta hubungan kekeluargaan saya diuji oleh Allah. Saya mengambil masa hampir lima tahun untuk kembali ‘normal’.

Adakalanya saya tertanya-tanya pada diri sendiri, kenapa saya ada di dunia ini? Adakah saya perlu buat perkara yang sama sahaja seperti orang lain? Belajar, masuk universiti, dapat pekerjaan yang bagus, beli rumah besar, ada kereta besar, kahwin, punya anak yang ramai, melancong ke luar negara dan lagi dan lagi dan lagi.

Ia seolah-seolah menjadi satu ‘template’ kehidupan. Malangnya, hati kecil saya berkata bahawa ada sesuatu yang lebih baik atau lebih ‘holistik’ dari semua yang saya nyatakan di atas.

Ketika itu, jujur saya katakan bahawa Al Quran bukan teman rapat saya. Saya sangat jahil. Ya, walaupun saya telah khatam Al Quran pada umur bawah 12 tahun tetapi khatam hanyalah bermaksud habis membacanya tanpa memahaminya langsung! Kemudian keluarga saya buat kenduri doa selamat untuk memberitahu orang kampung yang saya sudah khatam Al Quran.

Selepas umur 12 tahun…kadangkala baca, kadangkala tidak dan mungkin lebih lima tahun saya tak baca langsung. Al Quran hanyalah seperti sebuah buku yang dipandang mulia dengan meletakkannya di atas rak paling atas dan kadang kala dicium sebagai tanda hormat. Dibiarkan ia berdebu begitu sahaja.

Lahir sebagai seorang Muslim tidak bermakna seseorang itu menghayati Islam secara ‘total’. Sedih! Sedih sangat-sangat.

Tahun 2007 saya membawa diri ke beberapa buah negara asing. Di situ saya mula bertukar. Secara mental dan spiritual. Boleh saya katakan bahawa persepsi saya tentang kehidupan atau perjalanan hidup yang Allah takdirkan untuk saya telah berubah.

Sebelum memulakan perjalanan, hati kecil saya berkata,”Ya Allah, aku tidak ada apa-apa. Hanya Engkau! Aku serahkan diriku padamu.”

Saya tidak tahu bahawa sebenarnya, apa yang saya katakan itu adalah zikir لا حول ولاقوة إلا بالله.  “La Haula Wala Quwwata Illa Billah’” (yang bermaksud : Tiada daya dan kekuatan (untuk menolak sesuatu kemudaratan dan mendatangkan suatu yang manfaat) selain Allah SWT).

Ada beberapa kali ketika solat, saya akan menangis, merayu pada Allah hanya dalam bahasa Melayu dengan sungguh-sungguh kerana hati saya terlalu resah dan gundah-gulana. Subhanallah, selepas solat, hati saya terasa lapang, selapang-lapangnya!

Apabila saya membaca Al-Quran, seolah-olah Allah berkata-kata kepada saya, ayat itu ditujukan buat saya dan tidak boleh saya gambarkan langsung perasaan dalam diri saya ketika itu. Betapa Allah sesungguhnya Ar-Rahman dan Ar Rahim. Allahu Akbar!

Sesungguhnya di dalam Al Quran itu ada segala penawar dan jawapan bagi setiap masalah manusia dan hanya Allah SWT yang mengetahui apa yang terbaik untuk hamba Nya.

Dan Kami turunkan dengan beransur-ansur dari Al-Quran Aya-ayat Suci yang menjadi ubat penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman kepadanya; dan (sebaliknya) Al-Quran tidak menambahkan orang-orang yang zalim (disebabkan keingkaran mereka) melainkan kerugian jua.
(Al-Israk 17:82)

Baru-baru ini saya secara tidak sengaja terjumpa sebuah video temubual seorang ustaz yang bernama Fahad Al-Kandari – Guided through Quran, dengan seorang saudara Muslim; Abu Hurairah yang berasal dari Sepanyol.

Pada mulanya tujuan saya melihat video itu adalah untuk mendengar perbualan dalam bahasa Arab dan bahasa Sepanyol (saya sedang belajar kedua-dua bahasa ini sekarang) untuk latihan mendengar.

Subhanallah, saya mendapat ilmu yang lebih dari apa yang saya inginkan dan ia sangat-sangat bernilai bagi saya. Tidak henti-henti air mata saya mengalir apabila melihat video itu kerana apa yang dihadapi oleh Encik Abu Hurairah adalah hampir serupa dengan apa yang saya hadapi. Perbezaannya, dia beragama Kristian sebelum memeluk Islam pada tahun 1982.

Dalam Al Quran, Allah telah jawab semua persoalan saya, kekeliruan saya tentang kewujudan saya, tujuan kehidupan saya dan di dalamnya Allah telah memberikan saya arahan, tatacara untuk melalui kehidupan saya di dunia ini sebelum berpindah ke alam yang kekal. Dan Rasulullah SAW adalah pesuruhnya dan manusia terbaik sebagai ‘role model’ untuk semua orang Islam.

Mari kita amalkan membaca Al Quran setiap hari, rasai kemanisannya dan moga Allah berikan kekuatan untuk kita sentiasa istiqamah. Insha Allah.

Advertisements

Mudah Menghafaz Al Quran

Sudah lama saya tidak menulis di blog ini kerana sibuk dengan urusan seharian. Alhamdulillah, baru-baru ini saya telah melakukan ulangkaji Buku Madinah Arabic 1, mata pelajaran 10.

Video yang berkaitan dengan mata pelajaran 10, boleh didapati di Youtube – Mata pelajaran 9. Boleh klik link di sini, untuk Mata pelajaran 9.

Ketika saya tiba di masa 1:13:26 di dalam video seperti di atas, guru yang mengajar; Encik Asif telah berkata,

“Saya telah berjumpa seorang pelajar saya semalam. Saya mempunyai kelas di Stowel (sebuah tempat di Kanada).

Pelajar tersebut berkata saya telah menghafaz Surah Al-Waqiah dan saya telah menganalisa surah tersebut. Apabila kamu telah menganalisa surah tersebut dan memahaminya, hafalan menjadi mudah.

Saya berkata, Khaleeda, bila kamu menghafal surah tersebut? Pelajar itu berkata, saya menghafaznya di pejabat, duduk dan menghafal setiap ayat. Alhamdulillah.

Ia menjadi mudah. Bukan saja mudah malah ia (menghafal) jadi menyeronokkan. Kalau kamu menghafal sesuatu  yang kamu tidak faham, ia adalah tidak menyeronokkan kerana kamu memaksa diri kamu untuk menghafalnya.”

Pelajar tersebut sedang mempelajari buku Madinah Arabic 3, yang mana beliau sudah mampu untuk menganalisa ayat di dalam Al Quran.

Apabila Encik Asif memberi nasihat seperti begitu, saya tidak sabar untuk tiba ke buku Madinah Arabic 3. Insha Allah.

Dalam pada yang sama, saya sedang dalam proses menghafal surah Al-Mulk. Memang benar, apabila kita faham makna dan tatabahasa ayat hafalan itu, ia akan jadi lebih mudah. Insha Allah.

Krisis Identiti Bangsa Arab

Nawar-Fakhry-Ezzi--640x411Source: Saudi Gazette

Hari ini saya akan menterjemahkan sebuah artikel dari laman SaudiGazette berkenaan krisis identiti bangsa Arab masa kini.

Artikel ini berkisar tentang peri pentingnya mengekalkan identiti diri dan bahasa ibunda supaya ianya tidak luput ditelan zaman.

Artikel oleh: Nawar Fakhry Ezzi

Tajuk: Sebuah negara dalam krisis identiti

Ramai penyelidik telah mendapati bahawa bahasa asal kita menghubungkan kita kepada budaya, warisan dan kadang kala malah kepada agama juga, seperti orang Islam dan Yahudi di seluruh dunia yang kebiasaannya mengajar anak-anak mereka bahasa Arab dan Hebrew untuk melaksanakan ritual agama mereka.

Oleh itu, bahasa menyumbang kepada mendefinisikan identiti kita. Ini adalah membingungkan apabila sesetengah penduduk memilih secara sukarela untuk meninggalkan bahasa ibunda mereka apabila mereka masih tinggal dalam negara mereka sendiri dan ini apa yang berlaku dengan begitu banyak terhadapa orang-orang Arab pada masa kini.

Fenomena ini telah membuat ramai sarjana tertanya-tanya jika kita sebagai orang Arab mengalami krisis identiti atau jika kita cuba sedaya upaya untuk melarikan diri dari diri kita yang sebenar dan dari apa yang kita mungkin anggap sebagai realiti suram dengan mengambil alih identiti lain melalui berbahasa Inggeris.

Walaupun Bahasa Arab dituturkan oleh lebih daripada 280 juta orang sebagai bahasa pertama dan 250 juta sebagai bahasa kedua, pelbagai dialek bahasa Arab yang diucapkan adalah dianggap sebagai bahasa pasar yang dalam keadaan tertentu dipengaruhi oleh bahasa lain terutamanya di negara-negara bekas jajahan.

Dialek-dialek ini sangat berbeza dari bahasa Arab Klasik , yang digunakan di dalam al-Quran atau Modern Standard Arabic yang diajar di sekolah-sekolah dan universiti-universiti serta digunakan dalam dokumen-dokumen rasmi kerajaan dan tidak lupa juga ia digunakan oleh media, terutamanya berita di saluran tv.

Walau bagaimanapun, penggunaan Modern Standard Arabic yang tidak cekap adalah meluas malah penggunaan bahasa Arab pasar juga telah menurun pada masa kini. Bahasa Arab tewas kepada sama ada Bahasa Inggeris atau bahasa hibrid antara Bahasa Arab dan Bahasa Inggeris.

Oleh itu , sesetengah pihat bimbang bahawa Modern Standard Arabic boleh menjadi bahasa elit kepada bangsa Arab yang berpendidikan sepertimana bahasa Latin pernah digunakan di Eropah pada Zaman Pertengahan sehingga ia merosot dan mati.

Sepanjang abad yang lalu, isu ini dianggap serius oleh golongan elit Arab yang berpendidikan bermula sebagai sebahagian daripada pergerakan “Nasionalisme Arab” pada awal abad ke-19 untuk mengembalikan identiti Arab di bawah Empayar Uthmaniyyah sehingga ia berkembang menjadi sebuah ideologi meluas pada tahun 1950-an sebagai reaksi kepada penjajahan imperialis dan penubuhan Israel.

Walaupun kebimbangan untuk bahasa Arab masih kekal, idea “Nasionalisme Arab” remuk selepas kekalahan suram ( Al- Naksa ) ketika peperangan Arab-Israel pada tahun 1967 telah menyebabkan generasi yang seterusnya bersikap tidak peduli kepada bahasa dan identiti mereka malah ada yang membenci diri sendiri , kekeliruan dengan identiti diri dan rasa kehilangan.

Panggilan untuk “Kebangkitan Bahasa Arab” telah dihasilkan oleh mereka yang mengharapkan kebangkitan Islam dan menganggap bahawa menghidupkan semula bahasa Arab adalah salah satu cara untuk ia menjadikan kenyataan.

Walaupun bahasa adalah penting kepada identiti dan warisan seseorang, dominasi dan penguasaan sesuatu bahasa adalah manifestasi kemajuan dan pembangunan rakyat dan bukannya punca.

Orang-orang Arab telah bercakap Bahasa Arab beribu-ribu tahun dan mereka tidak lebih daripada itu adalah nomad dan peniaga tetapi mereka berkembang selepas kelahiran Islam apabila mereka mengaplikasikan pendidikan, pengubahsuaian, pembangunan dan kepelbagaian.

Semasa Zaman Keemasan Islam, Bahasa Arab merupakan bahasa yang dihormati dan dominan kerana ia telah digunakan untuk mendokumenkan penemuan saintifik. Hasil kerja pakar ilmu yang berharga dari tamadun lama seperti Greece, Rome, India dan Parsi telah diterjemahkan ke dalam bahasa Arab.

Dalam usaha untuk menghidupkan semula bahasa Arab, kita perlu bangkit sebagai sebuah negara dan membuat perubahan di peringkat akar umbi dalam sikap kita terhadap perubahan dan pengubahsuaian serta membangunkan bahan kurikulum dan pengajaran pedagogi yang lebih baik untuk memupuk masyarakat umum supaya berasa dahaga untuk menuntut ilmu.

Dalam pada itu, walaupun ada diantara kita yang tidak mengalami krisis identiti berhadapan dengan kekurangan pilihan untuk menguatkuasakan bahasa Arab apabila sekolah antarabangsa mempunyai bahan-bahan kurikulum yang jauh lebih hebat daripada kepada bahan-bahan tempatan. Apatah lagi pelbagai jenis buku adalah dalam bahasa Inggeris sama ada untuk orang dewasa atau kanak-kanak berbanding dengan buku-buku Bahasa Arab yang telah ditapis.

18 Disember adalah hari yang didedikasikan oleh Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu untuk bahasa Arab, sama seperti lima lagi bahasa rasmi PBB yang lain, mempunyai hari yang berbeza khusus untuk mereka.

Tujuannya adalah untuk meraikan kepelbagaian bahasa dan budaya dan untuk mempromosikan rasa hormat terhadap sejarah, budaya dan pencapaian bahasa-bahasa ini. Bahasa Arab boleh dianggap tali pusat yang menghubungkan kita kepada agama, sejarah, budaya dan warisan.

Walau bagaimanapun , jika kita keliru tentang identiti atau kedudukan kita di dunia ini, menghidupkan bahasa Arab semula tidak akan dapat mengembalikan kemashurannya sama seperti  masa lalu.

Kami hendak memuliakan hari ini dengan terus membaca buku-buku bahasa Arab dan mengajar anak-anak kita cinta dan nilai bahasa Arab , tetapi ia tidak boleh benar-benar meningkat sehingga kita bangkit sebagai sebuah negara.

Penulis boleh dihubungi di nawar81@hotmail.com

Cara mudah belajar bahasa Arab

Hari ini saya akan menterjemahkan satu post dari The National (laman web dari UAE) tentang cara mudah belajar bahasa Arab.

Artikel ini bertujuan untuk membantu orang-orang yang bukan menggunakan bahasa Arab sebagai bahasa ibunda atau asal mereka seperti kita, orang Melayu Malaysia supaya dapat menguasai bahasa Arab dengan lebih baik.

cara mudah belajar bahasa ArabSumber: The National

Artikel oleh: Nathan Toronto (Profesor Madya di UAE Kolej Pertahanan Kebangsaan)

Tajuk: Cara mudah untuk membantu murid-murid bangsa asing belajar bahasa Arab

Anak-anak saya telah menghadiri sekolah di Abu Dhabi selama lebih daripada dua tahun, dan saya terkejut dengan betapa sedikitnya Bahasa Arab yang dipelajari oleh mereka, walaupun mereka menghadiri kelas bahasa Arab dua atau tiga kali setiap minggu.

Saya telah mempelajari Bahasa Arab sejak tahun 1997, menggunakan bahasa Arab setiap hari dan pernah mengajar Bahasa Arab. Oleh itu, saya akan menjadi orang yang pertama mengakui bahawa  Bahasa Arab bukan merupakan bahasa yang mudah untuk dipelajari.

Saya tidak akan dapat mencapai titik di mana saya telah “tiba ” dalam kefasihan bahasa Arab dan anak-anak saya mungkin juga tidak.

Walaubagaimanapun, saya dapat merasakan bahawa  anak-anak saya sekurang-kurangnya dapat menguasai kecekapan asas bertutur dalam Bahasa Arab daripada pengalaman mereka tinggal di Abu Dhabi.

Mereka jauh dari kecekapan bertutur dalam bahasa ini sekarang, dan saya sering mengutarakan isu ini kepada tenaga pengajar Bahasa Arab mereka setiap kali persidangan ibu bapa dan guru diadakan.

Salah seorang dari anak perempuan saya memberitahu saya baru-baru ini bahawa dia telah lupa huruf bahasa Arab yang diketahuinya ketika dia mula-mula berpindah ke sini, dan anak perempuan saya yang lain pula berjenaka tentang perbendaharaan kata yang sia-sia dipelajarinya di dalam kelas.

Saya mendengar pelajar sekolah menyanyikan lagu kebangsaan UAE, dan jelas bahawa kebanyakan kanak-kanak bangsa asing tidak mempunyai idea apakah makna perkataan-perkataan tersebut.

Ini sungguh memalukan kerana mempelajari bahasa Arab adalah satu pengalaman yang memperkayakan, peluang untuk warga asing berhubung dengan budaya tempatan.

Sekolah telah hilang peluang keemasan untuk merapatkan jurang antara penduduk UAE dan warga asing, dan saya mempunyai
beberapa cadangan untuk memperbaiki kurikulum Bahasa Arab untuk pelajar yang tidak menggunakan bahasa Arab sebagai bahasa ibunda.

Pertama, mengajar kanak-kanak bahasa Arab yang mereka benar-benar akan gunakan.

Anak-anak saya berinteraksi dengan penduduk tempatan bangsa Arab setiap hari, biasanya di taman permainan sekolah, di dalam kelas, juga di luar sekolah. Besar kemungkinan jika anak-anak saya tahu apa yang hendak dikatakan dalam suasana demikian, mereka akan mengatakannya.

Walaupun kurikulum bahasa Arab yang mereka pelajari memberi tumpuan kepada warna, nombor dan menulis huruf, bagaimanapun ada kemungkinan mereka tidak akan menggunakannya.

Sekolah sepatutnya perlu mengajar anak-anak contoh ayat dalam bahasa Arab yang mereka boleh gunakan ketika berada di taman permainan, di kawasan sekolah, di kedai dan di taman.

Kedua, ajar kanak-kanak makna perkataan yang digunakan dalam lagu kebangsaan.

Tata bahasa Arab adalah kompleks,tetapi lagu kebangsaan adalah cukup mudah untuk kanak-kanak menghasilkan ayat-ayat yang asas – satu kemahiran yang mereka boleh gunakan di tempat lain. Apatah lagi, jika anak-anak tahu apa yang mereka nyanyikan, maka mereka akan lebih cenderung untuk mengingati perkataan tersebut.

Ketiga, mengajar kanak-kanak menggunakan dialog yang boleh dihafal.

Kita menggunakan dialog sepanjang masa, mengulangi perkataan dan ayat yang sama dalam aktiviti harian, seperti bermain, bertemu rakan-rakan baru di taman dan memesan roti di kedai roti.

Menghafaz dialog adalah berguna kerana ia meletakkan perbendaharaan kata baru dalam konteks, yang menjadikan ia lebih cenderung bagi pelajar bukan bangsa Arab untuk mengekalkannya di dalam memori mereka.

Pelajar yang mempunyai latar belakang yang berbeza bahasa sebenarnya menghafal dialog kerana mereka mendengar dialog tersebut dimainkan berulang kali , jadi ia adalah satu proses semulajadi untuk pelajar bukang bangsa Arab menggunakan dialog bahasa Arab dengan cara yang sama . Jika kanak-kanak tahu apa dialog yang hendak dikatakan dan bila untuk mengatakannya, mereka akan melakukannya.

Akhir sekali, memberi kerja rumah kepada kanak-kanak.

Anak-anak saya jarang pulang dengan kerja rumah Bahasa Arab untuk dilakukan, tetapi jika mereka mempunyai tugasan untuk pergi ke taman dan bertemu penduduk tempatan bangsa Arab, atau berjalan di kawasan kejiranan untuk memperkenalkan diri mereka dengan jiran menggunakan bahasa Arab (mungkin dengan bantuan ibu bapa), maka mereka akan menggunakan bahasa Arab di luar kelas.

Kanak-kanak juga boleh mengisi perkataan dalam ruang kosong seperti dalam dialog yang telah mereka hafal atau mereka boleh melakonkan dialog tersebut bersama ibu bapa mereka.

Sudah tentu, dialog ini akan perlu ditransliterasi, tidak dalam tulisan Arab tetapi ia akan membuatkan ibu bapa turut terlibat. Ibu bapa juga dapat mempelajari satu atau dua perkataan!

Sekolah-sekolah di Abu Dhabi tidak boleh ketinggalan peluang untuk membina pemahaman tentang bahasa dan budaya tempatan. Apakah cara yang lebih baik untuk memupuk rasa hormat kepada norma-norma dan nilai-nilai tempatan kalau bukan dengan mengajar Bahasa Arab kepada anak-anak warga asing dengan cara yang berguna dan mudah?

AlQuran Per Kata

alquran per kata

Sekarang ada bermacam-macam jenis Al Quran termasuk Al-Quran per kata yang terdapat di pasaran. Apabila saya sudah mula belajar bahasa Arab, saya tercari-cari sebuah Al-Quran yang dapat membantu memudahkan saya menghafal perkataan-perkataan baru.

Saya tertarik dengan sejenis Al-Quran yang di sebut sebagai Al-Quran per kata.

Al-Quran perkata menyenaraikan terjemahan bahasa Malaysia bagi setiap patah perkataan bahasa Arab di dalam Al-Quran tersebut.

alquran per kata3

Maksud setiap perkataan tidak semestinya hampir sama apabila seluruh ayat diterjemahkan.

Harap tidak ada salah faham antara terjemahan Al-Quran atau tafsir Al-quran.

Lepas saya riki-riki beberapa website yang menjual Al-Quran, saya mengambil keputusan untuk membeli Al-Quran dari website BukuOnline2u.com. Ada bermacam-macam pilihan di website ini.

Pada awalnya saya ingin membeli saiz B5 sebab lebih mudah untuk dibawa ke masjid dan sebagainya tetapi sebab saya diberitahu saiz B5 sudah tiada stok, maka saya pun telah membeli saiz A4.

alquran per kata1

Saya berpuas hati dengan Al-Quran per kata ini kerana setiap perkataan dibezakan dengan warna yang berlainan, disertakan tanda tajwid di bawah muka surat, bacaan sujud tilawah dan banyak lagi.

alquran per kata2

KECUALI…..satu saja. Kertas yang digunakan untuk setiap helai adalah terlalu nipis dari hemat saya kerana kebarangkalian untuk koyak sangat tinggi. Saya perlu berhati-hati setiap kali ingin menyelak helaian Al-Quran ini.

Ini bermaksud, saya tidak boleh menggunakannya untuk kegunaan anak-anak kecil kerana mereka mungkin kurang berhati-hati ketika menyelak helaian Al-Quran ini. Wallahualam.

Kalau anda berminat hendak beli Al-Quran per kata seperti saya bolehlah beli di BukuOnline2U.com kerana mereka ada memberi diskaun dan mereka juga ada banyak buku-buku tentang Islam dan kanak-kanak.

Ataupun boleh dapatkan Al Quran Cordoba yang lengkap dengan tafsir dari Ibnu Kathir sekali di link Al Quran Cordoba.