7 Tips Mengatasi Kebosanan Ketika Belajar Bahasa Arab

Sudah lumrah manusia akan cepat bosan. Sejujurnya saya juga cepat bosan.Kalau kita sentiasa melakukan perkara yang sama setiap hari tanpa ada perubahan hatta untuk beberapa hari sudah tentu kita akan menjadi bosan.

Sebagai contoh; kalau hari ini kita makan nasi lemak dengan telur rebus saja untuk sebulan tentu kita bosan. Tetapi kalau kita tukar-tukar lauk berlainan sudah tentu kita akan kurang bosan.

Sudah lumrah manusia, ada sifat mazmumah ini iaitu cepat bosan. Oleh sebab itu, Allah suruh kita berfikir dengan sifat kreativiti untuk mengatasi sifat mazmumah ini.

Apakah status perkembangan saya?

Setakat ini perjuangan saya untuk mempelajari bahasa Arab sudah mencapai bahagian 22 dalam buku 2 – Madinah Arabic.

Sepanjang bulan Mac 2016, saya cuba mendisiplinkan diri untuk menyelesaikan buku 2 – Madinah Arabic tetapi malangnya hanya dapat mencapai bahagian 20 dan masih berbaki 11 bahagian.

Pada mulanya, matlamat bulan Mac 2016 adalah untuk menghabiskan kesemua 31 bahagian dari buku 2 – Madinah Arabic. Ini bermaksud saya perlu mempelajari satu bahagian untuk satu hari. Mengikut pengalaman saya menyelesaikan buku 1 – Madinah Arabic, ini adalah sesuatu yang tidak masuk akal.

Ini kerana saya cuma dapat menamatkan buku 1 – Madinah Arabic selama 3 bulan!! ^___^.

Kenapa begini?

Terlalu banyak alasan yang boleh saya tuliskan di sini. 1001 banyaknya. Tetapi semua alasan itu kembali kepada alasan TERBESAR iaitu – saya mudah bosan!

Adakah saya mempunyai ADD (Attention Deficit Disorder)?

Menurut Seifert (1999), Attention Deficit Disorder (ADD) adalah masalah sukar memberi tumpuan dan mengawal desakan diri. Menurut beliau lagi, Attention Deficit Disorder (ADD) merangkumi hyperactivity iaitu keaktifan melampau. Keaktifan melampau ini dikenali sebagai Attention Deficit Hyperactivity Disorder (ADHD).

Menurut Kasmini Kassim (1992), sindrom hiperkinesis iaitu Attention Deficit Hyperactivity Disorder (ADHD) digunakan untuk menerangkan tingkah laku kanak-kanak yang tidak boleh duduk diam, kurang tumpuan perhatian, terlalu lasak, impulsif, resah, suka merosakkan harta benda, dan mudah mengalihkan perhatian terhadap sesuatu perkara.

Saya bukanlah kanak-kanak tetapi saya memang sukar belajar dengan hanya duduk di kerusi selama beberapa jam tanpa melakukan aktiviti lain dalam masa yang sama – multitasking.

Saya paling sukar berada di dalam perpustakaan! Saya lebih suka belajar di rumah atau dalam suasana yang mudah untuk saya bergerak.

Apa perlu saya lakukan?

Tip 1 – Perlunya warna dalam pembelajaran

Oleh kerana buku-buku bahasa Arab yang di muat turun secara percuma boleh didapati di laman LQToronto, maka saya cuma print saja dan dalam rona hitam putih untuk menjimatkan katrij.

Walaupun buku saya dicetak dalam warna hitam dan putih tetapi saya pastikan saya mempunyai pen, pensil warna dan alat bantuan belajar yang berwarna-warni seindah pelangi.

Tip 2 – Video sampingan yang menarik

Bayangkan…hari-hari pandang buku yang berona hitam putih tanpa warna yang menarik, tanpa bahan video yang berlatarkan warna dan lagu-lagu yang beralun indah, sejujurnya memang BOSAN!!! Hehehe..

Sumber paling mudah untuk tidak membosankan minda saya yang dah hampir tepu ni, tak lain tak bukan adalah YOUTUBE!!

Lubuk emas ni kalau salah guna maka terpesonglah kita, kalau betul guna makin eloklah kita.

Saya terjumpa video-video yang dihasilkan oleh Arabian Sinbad untuk kanak-kanak belajar bahasa Arab ini melalui Youtube.

Selepas saya hampir selesai Buku 1 Madinah Arabic, video dari Arabian Sinbad ini sangat membantu untuk memperbaiki pertuturan saya dan paling penting, lebih mudah untuk saya aplikasikan apa yang saya belajar di atas kertas ke dunia sebenar.

Watak utama adalah Sinbad, Zak zak seekor burung dan kawan-kawan Sinbad.

Laman Arabian Sinbad ada menjual barang-barang berkaitan untuk mempelajari bahasa Arab dalam bentuk DVD dan boleh diakses di sini: arabiansinbad.com

Tip 3 – Matlamat yang realistik

Matlamat utama saya adalah untuk memahami Al-Qurán tanpa membaca terjemahan. Ini tidak bermaksud saya tidak perlu membaca tafsir Al-Qurán. Saya masih perlu membaca tafsir tapi saya tidak mahu lagi membaca terjemahan yang berada dalam bahasa Malaysia.

Terjemahan ada banyak kelemahan kerana kadangkala perkataan dalam bahasa Malaysia tidak dapat menterjemahkan sesuatu perkataan dalam bahasa Arab dengan tepat. Kalau anda belajar bahasa Arab, anda akan faham apa yang saya maksudkan. ^^

Ketika saya mula-mula belajar bahasa Arab, saya rasa semangat saya meluap-luap. Almaklum perasaan ingin tahu masih segar bugar. Akibat niat untuk menghabiskan buku 1-Madinah Arabic dalam masa satu bulan, telah membuatkan diri saya ´burnt´.

Rasa penat dan letih dan MALAS!!

Setiap hari saya akan belajar dan belajar dan belajar hingga rasa tepu.

Saya silap.

Selepas itu, saya cuma hadkan diri saya maksimum 2 jam sehari dan elakkan belajar pada hujung minggu. Hujung minggu adalah hari untuk keluarga, orang yang tersayang dan apa-apa hobi saya yang lain.

Saya juga akan catatkan pencapaian saya setiap kali lepas belajar dengan menggunakan Microsoft Excel. Lebih sistematik dan hujung tahun nanti saya boleh lihat balik apakah matlamat yang telah saya capai sepanjang tahun 2016. Bi iznillah.

Sekurang-kurangnya saya tidaklah membiarkan masa berlalu tanpa ada bekalan untuk bertemu Allah suatu hari nanti.

Tip 4 – Konsep hadiahi diri sendiri

Bagi saya konsep ini sangat bagus. Ini adalah seperti kita menggantung sebatang lobak merah sebagai perangsang kepada seekor arnab. Hadiah = lobak merah dan arnab = kita.

Hadiah ini mestilah sesuatu yang kita idam-idamkan (seboleh-bolehnya sesuatu yang besar), dalam kemampuan kita dan mestilah halal serta mengikut syariat Islam.

Sebagai contoh; apabila saya selesai buku 2-Madinah Arabic, saya akan pergi bercuti ke tempat yang saya idam-idamkan atau makan di hotel 5 bintang.

Ini akan menjadi perangsang kepada saya untuk menyelesaikan pembelajaran saya secepat mungkin.

Hadiahkan diri setiap hujung bulan untuk hadiah yang kecil dan hadiah yang besar untuk penamat setiap buku.

Tip 5 – Mendengar nasyid atau program dalam bahasa Arab

Saya sebenarnya tidak suka sangat mendengar muzik tetapi apabila saya telah mengikuti program – Guided through the Qurán oleh Sheikh Fahad al Kandari (dalam bahasa Arab), saya tertarik dengan nasyid yang digunakan di dalam program tersebut.

Saya juga akan cuba mendengar ucapan Sheikh Fahad al Kandari dan apabila saya dapat memahami ayat beliau walaupun sangat sedikit, saya rasa sangat teruja! Masha Allah.

Lirik nasheed di bawah:

لمات الاناشيد الاسلامية
انشودة – بالقرآن اهتديت
أداء : المنشد عبدالعزيز عبدالغني و المنشد عبدالرحمن الكندري

كلمات الانشودة :

بالقرآن اهتديت ** في رحبه تحلو الحياة
شوقاً إلى المولى أتيت ** أسلمت روحي للإله
******************************
نور الحنايا والضلوع ** لله أعلنت الرجوع
آياته تغدو شموع ** و يفيض في قلبي سناه
******************************
قد زان لي أغلى طريق ** و هو الشفيع هو الرفيق
يا هائماً هل تستفيق ** و ترى السعادة والنجاة ؟

Tip 6 – Pecahkan bahagian masa belajar kepada beberapa bahagian

Seperti yang saya tulis di atas, saya mungkin ada sedikit sifat ADD. Oleh kerana itu, setiap 30 minit saya belajar..saya akan ambil masa 5-10 minit untuk melakukan aktiviti lain.

Oleh kerana saya seorang suri rumah sepenuh masa, saya akan gunakan masa 5-10 minit itu untuk cuci pinggan, kemas bilik, mop lantai atau vacuum ruang tamu.

Ataupun saya guna  Tip 2 atau Tip 5.

Lepas hilang bosan saya sambung kembali.

Atau kadangkala saya akan cuba fokus – 1 jam di waktu pagi, 1 jam lagi di waktu petang.

Cara orang lain mungkin lain dengan cara saya tetapi bagi diri saya, saya dapat memaksimumkan tahap pemahaman saya dengan cara begini.

Oh ya, kalau saya penat atau terlalu mengantuk, saya akan pastikan saya rehat atau lelapkan diri sekejap dan baru sambung semula.

Bagi saya belajar bahasa Arab bukanlah suatu pertandingan siapa cepat, dia menang. Saya hanya akan ke tahap seterusnya cuma apabila saya sudah faham. Tiada guna menghabiskan silibus kalau apa pun tak faham! ^^

Sebagai contoh, untuk memahami Masdar muawwal, saya telah mengambil masa 5 hari! Mulanya rasa macam nak give up dan tinggalkan saja tetapi saya teringat kembali matlamat utama saya pada Tip 3.

Terus tak jadi nak ´give up´!

Tip 7 – Cari sahabat dari bangsa Arab

Alhamdulillah, untuk ini saya tidak punya masalah kerana saya mempunyai seorang suami berbangsa Arab dan mempunyai beberapa sahabat dari Madinah (yang saya kenali ketika berada di Korea) , Morocco (ketika berada di Spain) dan Libya (ketika berada di UK).

Suami kadangkala membantu kalau dia tidak sibuk dan saya menggunakan Whatsapp untuk berhubung dengan rakan-rakan.

Apabila saya menggunakan bahasa Arab untuk berbual melalui Whatsapp, kawan-kawan saya sangat terkejut! Tetapi saya cuma dapat berbual yang asas sahaja kerana bukan belajar bahasa Arab komunikasi.

Tetapi saya berhajat untuk menyambung ke bahasa Arab komunikasi pada tahun 2017 apabila saya selesai silibus Madinah Arabic dalam tahun ini. Bi iznillah.

Semoga kita semua sentiasa istiqamah dalam pembelajaran bahasa Arab. Amin.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s